Rasulullah mengajar kita
supaya berdoa dengan doa ini:”Ya Allah
janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”
Mengapa? kerana diri kita
lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat
mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan
diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan agar serah dan
pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.
Kita tidak mengetahui apa yang
terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang
memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikanNya untuk kita
adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di
sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah
lagi nafsu… ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan
kehendak tabienya.
Apabila berlaku sesuatu yang
berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stres, marah dan sedih. Itu biasa.
Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan. Yang luar biasanya, apabila kita
memilih untuk ‘berkelahi’ dengan takdir. Kita tidak menerima warna-warni
kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk
memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering
menghantui jiwa.
Bayangkan kita sedang berjalan
di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi
jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita
tidak berkata, “sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga.”
Tidak! Kita tidak akan berkata
begitu. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam dan menikmati
lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita nikmati alam seperti
seadanya… akur kepada Pencipta senja.
Ironinya, sikap kita tidak
begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ pada kanvas kehidupan kita.
Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah.
Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu
menerima semua itu seadanya?
Berusahalah dengan segala
upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah, malah kita dituntut untuk
mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan
oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya,
letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri,
namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nantinya hasilnya,
katakan pada diri, “aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik.”
Jika yang diharapkan berlaku,
syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka…
sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan
kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan.
Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku… namun
apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan
kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan
lebih jauh ke hadapan.
Inilah hakikat hidup yang
dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan
mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdirNya. Ya, kita
tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang
Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah Kasih SayangNya sentiasa
mendahului kemurkaanNya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan
menjadi penawar.
Jika itulah suara hati kita,
mana mungkin kita gelisah, resah dan stres keterlaluan? Yakinlah, kita hamba
Allah… Allah tidak akan mengecewakan kita!
nukilan
Allahyarham Muhammad Nadzim....alfatihah (6 Mac 2014)
No comments:
Post a Comment